Gol Menakjubkan Wayne Rooney Dari Tengah Padang Vs West Ham 2014

golterbaikrooney

PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney menjaringkan gol yang menakjubkan dari tengah padang dalam perlawanan menentang West Ham United mengingatkan penonton akan lencongan yang sama yang pernah dilakukan oleh bekas rakan sepasukannya, David Beckham ketika menentang Wimbledon pada tahun 1996.

Gol luar biasa itu yang sebelum ini hanya pernah diingati dilakukan oleh Beckham menyebabkan penjaga gol West Ham, Adrian yang sememangnya berada di luar posisi biasa terkapai-kapai untuk mengejar dan menahan bola yang datang melambung dari jarang 50 ela itu.

Paling manis ialah Beckham turut hadir di stadium untuk menyaksi dan menyokong bekas kelabnya itu. Dia yang hadir bersama dua orang anaknya kelihatan tersenyum sambil menepuk tangan ketika Rooney menjaringkan gol luar biasa itu pada minit ke-8 permainan.

Pada minit ke-33, Rooney sekali lagi menjaringkan gol menjadikan kedudukan 2-0 sehingga tamat permainan.
Rooney bukan sahaja diturunkan sebagai penyerang tunggal dengan formasi Juan Pablo Mata dan Shinji Kagawa bermain sebagai pasangan di belakangnya malah penyerang England itu memikul tanggungjawab sebagai kapten pasukan.
Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut buat United selepas mereka menewaskan Olympiakos 3-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.
Malah boleh dikatakan ini adalah persembahan dan formasi terbaik United sejak pengurus baru David Moyes berhadapan dengan kempen negatif yang menyaksikan mereka dilanda krisis demi krisis dan yang terburuk ialah tewas 0-3 di tangan Liverpool hujung minggu lalu.
Moyes membuat beberapa pertukaran untuk merehatkan pemain-pemain yang keletihan kerana permainan besar menentang Olympiakos Khamis lalu masih belum hilang tetapi ketidakhadiran penyerang utama Robin van Persie kerana cedera lutut yang serius, tidak langsung dirasai dengan permainan menakjubkan yang dtunjukkan oleh Rooney dan rakan-rakannya yang lain.
Malah ketiadaan van Persie membolehkan Mata dan Kagawa bergerak bebas di belakang Rooney dan mereka sememangnya tidak bernasib baik kerana beberapa percubaan tepat berjaya diselamatkan oleh Adrian. Kagawa yang kali terakhir diturunkan sebagai kesebelasan utama ialah pada 22 Januari lalu bermain dengan cemerlang dan wajar mendapat pujian. 
Gandingannya bersama Mata di belakang Rooney kelihatan sebagai gandingan yang natural dan tidak mengecewakan lebih-lebih lagi kepada Mata sejak dia menyertai United dari Chelsea awal Januari lalu, ini sebenarnya adalah persembahan terbaiknya kerana kehadiran dan pengaruhnya benar-benar dirasai.
Betapa United bermain dengan begitu baik (sesuatu yang jarang-jarang sekali kita saksikan musim ini) mereka lakukannya dengan hanya seorang pemain tengah pertahanan iaitu Phil Jones. Jonny Evans, Chris Smalling, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic - kesemuanya tidak diturunkan sama ada kerana kecederaan atau digantung permainan.
Krisis di bahagian pertahanan memaksa Moyes mengandingkan pemain tengah Michael Carrick dengan dengan Jones. Dan walaupun Carrick bermain di luar posisi biasanya tetapi United masih mampu pulang tanpa memboloskan walaupun satu gol. Itu juga sesuatu yang boleh dianggap luar biasa bukan sahaja untuk perlawanan ini malah musim ini.
Tetapi dua kemenangan berturut-turut ini adalah tonik yang sangat-sangat diperlukan sebagai persediaan menghadapi perlawanan paling besar dan dinanti-nantikan iaitu menentang jiran dan juga pencabar utama United buat masa sekarang, Manchester City Rabu depan. 
FAKTA PERLAWANAN:
West Ham: Adrian 6, Demel 5.5, Collins 6, Tomkins 5.5, McCartney 5.5, Taylor 5 (Nocerino 82), Nolan 6 (C.Cole 73 - 5), Noble 5.5, Diame 5 (Jarvis 58 - 6), Downing 6.5, Carroll 6.5.
Simpanan tidak digunakan: Jaaskelainen, Reid, Armero, J.Cole.
Manchester United: De Gea 6.5, Rafael 5.5, Jones 6.5, Carrick 6.5, Buttner 6.5, Fletcher 7.5, Fellaini 7, Young 6.5, Kagawa 7, Mata 7 (Welbeck 78), Rooney 8.5 (Hernandez 77).
Simpanan tidak digunakan: Lindegaard, Evra, Nani, Cleverley, Januzaj.
Gol: Rooney 7, 33.
Pengadil: Lee Mason.
Stadium: Upton Park, London.
via mStar online

Video Gol Menakjubkan Wayne Rooney Dari Tengah Padang Menentang West Ham 2014

Kredit : Sumber

2 comments:

  1. Replies
    1. roonney terbaik!! . Macam penyokong MU aje.. mselim3 memang penyokong MU..hehehe. Cuma sekarang prestasi MU tak konsisten..

      Delete

Powered by Blogger.