Tertinggal, bangkit, menang!


Ipoh: Malaysia bangkit daripada defisit dua gol untuk menumpaskan Jepun 4-2 dalam saingan terakhir Kumpulan A – sekali gus layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia ke-9 di Ipoh, malam tadi. 

Selepas ketinggalan dua gol ketika permainan baru berlangsung lapan minit, skuad negara mempamerkan aksi bertenaga untuk mengurangkan defisit apabila mengikat kedudukan 2-2 sebelum babak pertama berakhir. 

Dua gol pada setiap babak oleh Muhammad Razie Abd Rahim, Muhammad Firhan Ashaari serta Faizal Saari dan Azlan Misron melengkapkan kemenangan penuh bergaya anak buah Paul Revington bagi menempah pertemuan separuh akhir dengan India yang setakat ini mengungguli Kumpulan B. 


Toshiro Tachibana membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-6 diikuti tindakan penyudah cantik oleh Kei Kawakami (m-8) yang menghukum kealpaan benteng melalui jaringan padang. 

Sudut penalti 

Malaysia menggandakan asakan dan memecah kebuntuan hasil jaringan Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-15. 

Muhammad Firhan Ashaari kemudian menyamakan kedudukan untuk menceriakan kira-kira 3,000 penyokong sebelum Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-60 dan Azlan menutup terus sia-sia perjuangan Jepun, enam minit selepas itu untuk menang 4-2. 
Sementara itu, Pakistan seperti dijangka mengekalkan rekod tanpa kalah dengan membelasah Taiwan 13-0 untuk membolehkan juara tiga kali itu mengungguli kumpulan A dan dijangka bertemu Korea Selatan di separuh akhir, Jumaat ini.


Sumber : BH

No comments

Powered by Blogger.